Dow Jones Tembus 50,000 Mata: Realiti ‘AI Boom’ dan Kesan Tarif Trump

Sejarah tercipta di Wall Street apabila indeks purata perindustrian Dow Jones akhirnya melepasi paras psikologi 50,000 mata buat kali pertama.
Bagi pelabur yang baru berjinak-jinak dengan pasaran global, angka ini bukan sekadar nombor. Ia mencerminkan keyakinan pasaran yang didorong oleh tiga faktor utama: penilaian syarikat teknologi yang semakin tinggi, laporan pendapatan korporat yang kukuh, serta harapan bahawa kadar faedah akan diturunkan tidak lama lagi.
Walaupun Jumaat lalu ditutup dengan kenaikan 2.3% kepada 50,015.67 mata, perjalanan minggu ini bukanlah tanpa cabaran. Pasaran sempat merasai tekanan apabila pelabur mula mempersoalkan jumlah pelaburan luar biasa yang dicurahkan ke dalam sektor kecerdasan buatan (AI).
Dominasi Nvidia dan Kerisauan Terhadap Amazon
Sektor teknologi kekal menjadi penggerak utama. Jensen Huang, Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, tampil di CNBC menegaskan bahawa permintaan terhadap AI masih "sangat tinggi" dan perbelanjaan dalam sektor ini adalah wajar serta mampan.
Kenyataan ini melonjakkan saham Nvidia sebanyak 7.9%. Sebagai syarikat awam terbesar dunia dengan penilaian pasaran mencecah $4.5 trilion, pergerakan Nvidia mempunyai kesan besar terhadap indeks keseluruhan.
Namun, tidak semua gergasi teknologi bernasib baik. Amazon menjadi saham berprestasi terburuk dalam senarai 30 saham Dow Jones, susut 5.6%. Penurunan ini berlaku selepas syarikat tersebut mengumumkan rancangan perbelanjaan modal (CAPEX) sebanyak $200 bilion untuk AI dan robotik tahun ini—satu jumlah yang membuatkan pelabur berasa bimbang tentang margin keuntungan syarikat.
Dalam masa yang sama, pasaran mata wang kripto termasuk Bitcoin turut mengalami penyusutan nilai sejak kebelakangan ini, walaupun berjaya memulihkan sedikit kedudukan pada hari Jumaat.
Faktor Geopolitik: Trump dan "Taco Trade"
Dari sudut geopolitik, Presiden Donald Trump tidak melepaskan peluang untuk menuntut kredit atas kenaikan pasaran ini. Beliau mendakwa rekod baharu ini adalah bukti kejayaan dasar tarif agresifnya, yang kini berada pada tahap efektif tertinggi sejak tahun 1935.
Melalui media sosial, Trump menulis, “TERIMA KASIH ENCIK TARIF!!!” sambil menyatakan bahawa keselamatan nasional dan kewangan AS berada pada tahap paling kukuh.
Walau bagaimanapun, reaksi pelabur institusi dilihat agak berbeza. Ramai yang tidak terlalu bimbang dengan retorik perdagangan Trump. Fenomena ini dikenali sebagai "Taco Trade"—singkatan kepada Trump Always Chickens Out.
Istilah ini merujuk kepada persepsi pasaran bahawa walaupun Trump sering mengugut untuk mengenakan tarif tinggi kepada sekutu dan musuh ekonomi AS, beliau akhirnya akan bertolak ansur jika pasaran saham mula terjejas. Sentimen inilah yang membolehkan pasaran terus bergerak positif walaupun ketegangan geopolitik semakin memuncak.
Tips Untuk Pelabur Malaysia?
Bagi pelabur tempatan, kenaikan di Wall Street sering kali memberi tempias kepada sentimen pasaran global, termasuk Bursa Malaysia. Namun, pelabur perlu bijak menilai situasi.
Kenaikan mendadak indeks utama AS menunjukkan bahawa selera risiko (risk appetite) pelabur global masih tinggi, terutamanya dalam sektor teknologi. Namun, kejatuhan Amazon adalah peringatan bahawa perbelanjaan modal yang terlalu besar tanpa jaminan pulangan segera boleh menghukum harga saham.
Nasihat untuk pelabur baharu kat sini sangat jelas: Jangan terlalu mengejar pasaran (FOMO) hanya kerana indeks memecah rekod. Perhatikan fundamental syarikat dan fahami bahawa turun naik dalam sektor berisiko tinggi seperti teknologi dan kripto adalah lumrah dalam pelaburan
Sumber:CNBC