Fenomena “Saham Meme”: Apabila Media Sosial Mula Menguasai Pasaran Saham

Loading...

Pernah dengar tentang saham meme? Ia bukan benda lawak, tapi kenaikan ia memang didorong oleh komuniti di internet.Bukan lagi disebakan oleh supply & demand lagi.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dunia kewangan kita telah dihebohkan oleh satu fenomena: Saham meme. Ini adalah saham syarikat yang harga pasarannya melambung tinggi bukan disebabkan oleh prestasi atau keuntungan syarikat itu sendiri (iaitu, asas-asas kewangan tradisional). Sebaliknya, ia berlaku semata-mata kerana perbincangan dan ‘hype’ secara beramai-ramai di media sosial.
Apabila sekumpulan besar pelabur ini secara serentak memutuskan untuk membeli saham yang sama, ia mencetuskan volatility (kemeruapan) melampau. Ini menyebabkan harga saham itu bergerak jauh daripada nilai sebenar syarikat.
Fenomena ini membuktikan bahawa pelabur kecil yang bersatu padu kini mempunyai kuasa. Mereka mampu menggugat pasaran yang sebelum ini didominasi oleh institusi kewangan gergasi.
Bayangkan seperti satu ‘meme’ di internet—gambar atau idea lucu yang tiba-tiba tular—tapi kali ini, ia berlaku pada saham. Saham meme menjadi popular dengan pantas. Terutamanya, ini terjadi dalam kalangan pelabur runcit (pelabur individu biasa, bukan profesional) melalui platform komuniti. Contohnya, Reddit (terutamanya sub-forum r/WallStreetBets), X (dulu Twitter), dan TikTok.
Kebanyakan drama saham meme yang terkenal berkisar tentang strategi yang dinamakan short squeeze (pemerasan jualan singkat). Dalam strategi ini, pelabur kecil membeli saham secara beramai-ramai untuk memaksa pelabur besar (dana lindung nilai) yang short sell. Mereka harus membeli semula saham dengan harga yang lebih tinggi bagi mengelak kerugian yang lebih besar.
Pembelian paksa ini meningkatkan permintaan secara drastik, menjadikan harga saham melonjak seperti roket.

Kisah GameStop (GME) pada awal 2021 kekal sebagai contoh paling ikonik bagi fenomena saham meme. Syarikat peruncit permainan video ini dilihat oleh pelabur besar sebagai bisnes yang semakin merosot. Mereka telah disasarkan oleh dana lindung nilai untuk short selling.
Walau bagaimanapun, komuniti dalam talian di Reddit melihat potensi ini sebagai peluang. Dengan dipimpin oleh penganalisis seperti Keith Gill (dikenali sebagai “Roaring Kitty”), pelabur runcit bersatu padu membeli saham GME secara besar-besaran.
Tindakan kolektif ini mencetuskan short squeeze yang menyebabkan harga GME melonjak dari belasan dolar kepada hampir $483 dalam beberapa minggu (sebelum pelarasan perpecahan saham). Peningkatan harga ini mengakibatkan kerugian bilion dolar kepada dana lindung nilai besar. Ini sekaligus menjadi simbol ‘pemberontakan’ pelabur kecil terhadap Wall Street.
Harga GameStop naik dari USD17 ke USD483 sesaham, menjadikan pelabur awal jutawan segera.
Contohnya, sesiapa yang beli 1,000 unit pada USD17 dan jual di USD483 akan mengaut lebih RM2 juta keuntungan.
Salah seorang pelabur terkenal, Keith Gill (Roaring Kitty), dikatakan meraih lebih USD30 juta pada kemuncak harga.
Namun, tak semua bernasib baik — ramai pelabur runcit yang masuk lambat akhirnya rugi besar apabila harga menjunam semula ke bawah USD100 hanya beberapa hari kemudian.
Dana lindung nilai seperti Melvin Capital pula kehilangan lebih USD6.8 bilion dan akhirnya terpaksa ditutup.

Fenomena gergasi GameStop ini telah diabadikan dalam filem Hollywood 2023, Dumb Money.
Filem ini menceritakan semula kejadian pada Januari 2021 dari sudut pandangan pelbagai pihak—terutamanya pelabur kecil biasa, yang digelar ‘dumb money’ oleh institusi kewangan, dan dana lindung nilai yang menjadi mangsa short squeeze.
Dumb Money menonjolkan bagaimana minat dan semangat Keith Gill, bersama dengan hasrat komuniti dalam talian untuk menentang pelabur besar, telah mencetuskan pergerakan pasaran yang bersejarah.
Filem ini bukan sahaja menceritakan kisah keuntungan dan kerugian. Ia juga menyoroti kuasa media sosial dalam mendemokrasikan dan menggugat landskap pelaburan moden.

Walaupun kisah kejayaan saham meme ini kedengaran menarik—kononnya boleh buat untung besar dalam sekelip mata—anda perlu sedar: Ini adalah pelaburan yang sangat spekulatif dan berisiko tinggi.
Harga yang naik mendadak boleh jatuh secepat kilat. Keputusan pelaburan sering didorong oleh FOMO (Fear of Missing Out atau Ketakutan Ketinggalan Peluang) dan bukannya analisis kewangan yang rasional. Selain itu, kebanyakannya tidak disokong oleh nilai perniagaan yang kukuh. Saham meme lebih sesuai dianggap sebagai ‘pertaruhan’ atau spekulasi.
Jika anda ingin mencubanya, pastikan anda hanya menggunakan wang yang anda sanggup hilang. Jangan sesekali mengorbankan pelaburan jangka panjang atau simpanan kecemasan anda.
Saham meme ialah saham yang naik mendadak bukan kerana prestasi syarikat, tetapi kerana pengaruh media sosial dan gerakan pelabur runcit secara kolektif. Ia lebih bersifat spekulasi berbanding pelaburan tradisional.
Risiko utama ialah harga saham meme sangat tidak menentu dan didorong oleh FOMO, bukan analisis kewangan. Pelabur boleh mengalami kerugian besar apabila momentum media sosial reda.
Saham meme tidak sesuai untuk newbie kerana ia memerlukan pemahaman risiko yang tinggi. Newbie disarankan bermula dengan saham fundamental kukuh dan hanya gunakan wang lebihan untuk spekulasi.
Platform seperti Reddit dan TikTok membolehkan pelabur runcit berkumpul dan menggerakkan harga saham secara kolektif, mewujudkan fenomena baharu di mana sentimen viral boleh mengatasi analisis fundamental.
Fenomena saham meme menunjukkan betapa pentingnya ilmu pelaburan sebelum terjun ke pasaran saham.
Buka akaun CDS anda melalui Daftar Akaun CDS Mplus untuk mula melabur di Bursa Malaysia dan pasaran global.
Baru nak mula belajar saham? Download Ebook Asas Saham Percuma untuk fahami asas pelaburan saham sebelum mula melabur.
Bacaan lanjut: