Grab lakar sejarah dengan keuntungan bersih RM920 juta bagi 2025

Grab Holdings, pembangun aplikasi teknologi, pengangkutan, makanan dan e-dagang, berjaya mencatat keuntungan penuh tahun buat kali pertama, bangkit daripada kerugian pada 2024.
Syarikat berpangkalan di Singapura itu merekodkan hasil AS$3.3 bilion (kira-kira RM15.18 bilion) bagi tahun kewangan 2025, dengan keuntungan AS$200 juta (RM920 juta).
Ia merupakan pemulihan kukuh berbanding tahun sebelumnya apabila Grab mencatat kerugian AS$158 juta (RM727 juta).
Pertumbuhan itu didorong hasil suku keempat (Q4) sebanyak AS$906 juta, mewakili peningkatan 19 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Kami menamatkan 2025 dengan suku keempat yang memecahkan rekod, mencatat keuntungan bersih penuh tahun pertama kami dan melepasi 50 juta pengguna transaksi bulanan," kata Anthony Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan pengasas bersama Grab.
Beliau berkata, syarikat akan meneruskan momentum ini dengan melaksanakan strategi berbilang tahun yang memberi tumpuan untuk mengembangkan lagi pasaran boleh capaian menerusi kemampuan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi.
"Di samping memanfaatkan inovasi berpaksikan produk bagi memperdalam penglibatan ekosistem dan meningkatkan nilai sepanjang hayat pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil daripada perkhidmatan penghantaran meningkat 18 peratus tahun ke tahun, manakala hasil mobiliti meningkat 15 peratus.
Ketua Pegawai Kewangan Grab, Peter Oey berkata, asas kukuh itu menyokong keyakinan mereka terhadap prospek kewangan jangka panjang.
"Kami menjangka menjana AS$1.5 bilion dalam EBITDA Terlaras dengan penukaran Aliran Tunai Bebas Terlaras sebanyak 80 peratus menjelang 2028," katanya.
Beliau berkata, ini memberikan fleksibiliti lebih besar untuk mempercepatkan cita-rasa platform sambil menyampaikan nilai pemegang saham.
Grab kini mengumumkan program pembelian balik saham bernilai AS$500 juta (RM2.3 bilion).
Sumber:NST