IPO TeamStar Catat Lebihan Permintaan 4.2 Kali

TeamStar Bhd, pembekal penyelesaian pembaikan rumah dan perkakasan, melaporkan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat mencatatkan lebihan permintaan sebanyak 4.2 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 25 Februari ini.
Menurut pemfailan syarikat pada hari Selasa, sebanyak 3,596 permohonan diterima untuk 207.92 juta saham IPO daripada orang ramai Malaysia, mewakili jumlah nilai RM54.06 juta. Bahagian Bumiputera mencatat lebihan permintaan 3.2 kali manakala bahagian bukan Bumiputera pula merekodkan lebihan permintaan 5.2 kali.
Sementara itu, 15 juta saham yang diperuntukkan untuk pengarah layak, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kumpulan telah dilanggan sepenuhnya. Sebanyak 48 juta saham yang diperuntukkan kepada pelabur terpilih turut berjaya ditempatkan sepenuhnya. Begitu juga dengan 100 juta saham yang dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang dikenalpasti dan diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri selepas prosedur clawback dan pengagihan semula.
IPO TeamStar melibatkan sejumlah 204 juta saham pada harga 26 sen sesaham. Ia terdiri daripada terbitan awam 132 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 72 juta saham sedia ada.
Naib Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TeamStar, Tan Lee Kueng sebelum ini berkata hasil IPO syarikat yang dianggarkan RM34.32 juta akan digunakan terutamanya bagi memacu pengembangan perniagaan runcit syarikat. TeamStar dijangka mempunyai modal saham diperbesarkan sebanyak 800 juta saham selepas penyenaraian, memberikannya permodalan pasaran awal RM208 juta.
TA Securities Holdings Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen peletakan tunggal bagi latihan korporat ini.
Sumber:TheEdge