Cara Beli Saham US dalam App M+ Global: Demo Sebenar Beli 1 Unit META

Ramai yang tanya: "Saya dah ada akaun M+ Global, tapi macam mana sebenarnya nak beli saham US?" Jawapan paling mudah ialah tunjuk terus. Jadi dalam tutorial ini, kami buat pembelian sebenar - 1 unit saham META (Meta Platforms, syarikat induk Facebook dan Instagram) di NASDAQ - dan screenshot setiap skrin dari mula sampai order filled.
Yang menarik, pembelian ini dibuat pada pukul 4:56 pagi waktu Malaysia - iaitu waktu after-hours di pasaran US. Jadi anda juga akan belajar satu konsep penting yang ramai pelabur baru tak tahu: Extended Trading Hours. Mari kita mula.
Perkongsian ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja, bukan nasihat atau cadangan pelaburan. Saham META digunakan semata-mata sebagai contoh demonstrasi. Sila buat kajian sendiri dan semak status patuh syariah sesuatu saham sebelum melabur.
Apa Yang Anda Perlukan Sebelum Mula
Untuk ikut langkah-langkah dalam tutorial ini, anda perlukan dua perkara:
- Akaun M+ Global yang aktif - app dagangan saham global daripada Malacca Securities, broker berlesen di Malaysia. Jika anda belum ada akaun, baca dulu cara buka M+ Global untuk existing client Bursa.
- Baki USD dalam akaun (Buying Power) - saham US didagangkan dalam Dolar Amerika. Anda perlu deposit dan tukar ke USD terlebih dahulu sebelum boleh membeli.
Berbeza dengan saham Bursa Malaysia yang disimpan dalam akaun CDS anda sendiri, saham US dipegang secara nominee bagi pihak anda. Proses beli pula hampir sama sahaja - malah jika anda pernah baca tutorial kami tentang cara beli saham Bursa Malaysia dalam M+ Global, anda akan nampak persamaannya.
Langkah 1: Cari Saham Yang Anda Nak Beli

Buka app M+ Global, pergi ke tab Markets dan tekan ikon carian di bahagian atas. Taip nama syarikat atau simbol ticker - dalam contoh ini kami taip "meta".
Perhatikan hasil carian dalam screenshot di atas: ada beberapa keputusan berbeza. Meta Platforms dengan label biru US dan ticker META ialah saham yang kami cari. Ada juga "META MEDIA" dari bursa Hong Kong (label HK) - jadi sentiasa semak label pasaran sebelum tekan, supaya tak terbeli saham yang salah.
Langkah 2: Fahami Halaman Saham & Status Pasaran

Selepas tekan hasil carian, anda akan sampai ke halaman saham META. Beberapa perkara penting untuk diperhatikan di sini:
- Harga semasa: USD 615.58, naik +2.55% pada sesi regular hari itu
- Label sesi pasaran: Di bahagian atas tertera "Post Market 07/07 16:53:01 EDT" - ini bermakna waktu di New York ialah 4:53 petang, pasaran regular baru sahaja tutup, dan dagangan kini berjalan dalam sesi post-market (after-hours)
- Data asas: High, Low, Open, Prev. Close, Market Cap (1.56 trilion USD!) dan Volume
Kalau anda baru pertama kali guna app ini dan rasa asing dengan susun aturnya, kami sarankan baca dulu peta lengkap setiap skrin app M+ Global.
Di bahagian bawah halaman ada dua butang besar: Buy (hijau) dan Sell (merah). Tekan Buy.
Langkah 3: Kenali Tiket Order

Inilah skrin paling penting dalam keseluruhan proses. Mari kita pecahkan satu persatu apa yang anda nampak:
- Bar Bid/Ask: Bid 615.33 (pembeli tertinggi sanggup bayar) dan Ask 615.50 (penjual terendah sanggup jual). Angka 15 dan 20 di tepi ialah bilangan unit yang menunggu pada harga tersebut.
- Account (Buying Power): Baki USD yang anda ada untuk membeli. Dalam contoh ini USD 23,835.34.
- Side: Buy atau Sell - pastikan Buy dipilih.
- Order Type: Jenis order (kita akan terangkan sebentar lagi). Default ialah Limit.
- Price: Harga yang anda sanggup bayar. App auto-isi dengan harga terkini.
- Quantity: Bilangan unit. Perhatikan MAX 38 - app kira secara automatik jumlah maksimum unit yang buying power anda mampu beli.
Satu kelebihan pasaran US berbanding Bursa: tiada konsep lot 100 unit. Anda boleh beli serendah 1 unit sahaja - itulah yang kami buat dalam demo ini.
Jenis Order Dalam M+ Global: Apa Bezanya?

Tekan dropdown Order Type dan anda akan nampak tiga pilihan untuk saham US:
- Limit (LMT) - "Trade at a specific price or better." Anda tetapkan harga siling; order hanya akan filled pada harga itu atau lebih baik. Ini pilihan paling selamat dan jenis yang kami guna dalam demo ini.
- Market (MKT) - "Trade at the current market price." Order dilaksanakan serta-merta pada harga pasaran semasa. Kelebihannya pasti filled; kelemahannya anda tak dapat kawal harga akhir, terutama bila pasaran bergerak laju.
- Arrival Price (AP) - order bersyarat (conditional). Anda set harga trigger; bila harga pasaran menyentuh paras itu, barulah order sebenar dihantar sama ada sebagai limit atau market. Sesuai untuk strategi seperti beli bila harga breakout paras tertentu.
Nota: senarai ini untuk pasaran US. Untuk saham Bursa Malaysia, pilihan ordernya sedikit berbeza - kami dah kupas dalam artikel jenis order dalam M+ Global untuk Bursa.
Extended Trading Hours: Konsep Penting Yang Ramai Tak Tahu

Scroll ke bawah sedikit dalam tiket order dan anda akan jumpa satu tetapan yang selalu diabaikan: Trading Hours. Ini antara perkara paling penting untuk pelabur Malaysia faham, sebab ia berkait terus dengan perbezaan zon masa kita.
Pasaran saham US seperti NYSE dan NASDAQ beroperasi pada waktu rasmi 9:30 pagi hingga 4:00 petang Eastern Time. Tetapi di luar waktu rasmi itu, masih ada dagangan berlangsung dalam sesi tambahan. Dalam M+ Global, pilihannya ada dua:
- Regular Trading Hours - order anda hanya boleh filled antara 9:30 pagi hingga 4:00 petang ET. Dalam waktu Malaysia (musim panas US), itu bersamaan 9:30 malam hingga 4:00 pagi.
- Include Extended Hours - order anda boleh filled dari 4:00 pagi hingga 8:00 malam ET, merangkumi tiga sesi: pre-market (4:00 pagi - 9:30 pagi ET), regular, dan after-hours (4:00 petang - 8:00 malam ET). Dalam waktu Malaysia: dari 4:00 petang hari ini hingga 8:00 pagi esok.
Demo kami dibuat pada 4:56 pagi waktu Malaysia = 4:56 petang di New York, iaitu dalam sesi after-hours. Sebab itulah kami wajib pilih "Include Extended Hours" - kalau pilih Regular, order kami hanya akan tergantung sampai pasaran buka semula malam nanti.
Tetapi ada perkara yang anda perlu berhati-hati. Menurut panduan rasmi SEC (investor.gov), dagangan waktu extended hours ada risiko tambahan: kecairan (liquidity) lebih nipis, spread bid-ask lebih lebar, dan harga lebih tidak menentu. Anda boleh nampak sendiri dalam screenshot kami - pada satu ketika, hanya 1 unit sahaja tersedia pada harga ask! Sebab itu, waktu extended hours, gunakan Limit order sahaja. Elakkan Market order.
Langkah 4: Isi Harga & Kuantiti (Trik Supaya Terus Filled)

Sekarang bahagian praktikal. Ramai pelabur baru keliru: "Saya dah letak order, kenapa tak filled-filled?" Selalunya sebabnya mudah - harga limit diletak terlalu rendah, jauh di bawah harga pasaran.
Kalau anda nak order terus filled, ini triknya: set harga limit sama dengan harga Ask semasa. Harga ask ialah harga terendah yang penjual sanggup jual sekarang. Bila limit anda sepadan dengan ask, order anda akan match serta-merta dengan penjual yang sedang menunggu.
Dalam screenshot di atas: Ask ialah 615.58, jadi kami set Price = 615.58 dan Quantity = 1. Perhatikan Est. Amount (USD): 619.36 - ini anggaran jumlah penuh termasuk fee (kita akan lihat pecahannya sebentar lagi). Tekan butang Buy hijau.
Langkah 5: Semak & Sahkan Order

Sebelum order dihantar, app akan tunjukkan ringkasan penuh: jenis order (Limit), harga (615.58), kuantiti (1), tetapan Trading Hours (Extended Trading Hours), dan anggaran jumlah (619.36). Ini peluang terakhir untuk betulkan apa-apa kesilapan. Semak betul-betul, kemudian tekan Confirm.
Order Filled Dalam 1 Saat - Dan Dapat Harga Lebih Murah!

Sebaik sahaja Confirm ditekan, notifikasi "Order Filled" terus muncul. Perhatikan satu perkara menarik: kami letak limit 615.58, tetapi order filled pada 615.28 - jimat USD 0.30!
Inilah yang dipanggil price improvement, dan ia adalah sifat semula jadi limit order: "harga yang ditetapkan atau lebih baik". Ketika order kami masuk, ada penjual sanggup jual pada harga lebih rendah, jadi sistem match kami pada harga terbaik yang ada, bukan pada harga siling kami.

Anda boleh sahkan status order di tab Today's Order di bahagian bawah skrin Trade. Kolum "Submit/Filled" menunjukkan 1/1 - bermakna kesemua 1 unit yang dihantar telah filled. Selagi order belum filled, anda masih boleh tekan baris order tersebut untuk Edit atau Cancel.
Semak Butiran Order

Tekan order tersebut dan pilih Details untuk lihat rekod penuh. Di sini anda boleh nampak:
- Order price 615.58 vs Filled price 615.28 - bukti price improvement tadi
- Order Time: 07/07/2026 16:56:36 ET - direkod dalam waktu New York
- Fill Outside RTH: Allow - ini cara app merekodkan pilihan "Include Extended Hours" kita. RTH bermaksud Regular Trading Hours, jadi "Allow" bermakna order dibenarkan filled di luar waktu rasmi.
Bahagian Fees: Berapa Kos Sebenar Belian Ini?

Sekarang bahagian yang semua orang nak tahu - fee. Dalam tiket order, tekan ikon ⓘ di sebelah "Est. Amount" dan app akan tunjukkan pecahan anggaran:
- Est. Order Amount: 615.58 (harga saham × kuantiti)
- Est. Order Fee: 3.78 (anggaran semua caj urus niaga)
- Jumlah: 619.36 USD
Untuk order kecil macam ini, fee minimum adalah komponen paling besar - sebab itu peratusan fee nampak tinggi (0.6%) untuk belian 1 unit. Semakin besar nilai belian anda, semakin kecil peratusan fee minimum ini. Pecahan penuh setiap jenis caj untuk pasaran US dan Bursa kami dah senaraikan dalam artikel fahami fee & caj transaksi M+ Global.

Satu perkara yang mengelirukan ramai pengguna: selepas order filled, seksyen Fee Details dalam Order Details tidak terus menunjukkan angka. Sebaliknya app paparkan mesej: "The transaction fee can be viewed after stock liquidation." Maksudnya, pecahan fee muktamad hanya akan muncul selepas transaksi selesai diproses sepenuhnya - anda boleh semak dalam e-statement harian keesokan harinya. Cara semak statement kami tunjukkan dalam tutorial statement M+ Global.
Perhatikan juga disclaimer dalam popup tadi: anggaran adalah berdasarkan kadar tukaran semasa, dan jumlah muktamad bergantung pada kadar penukaran pada hari settlement.
Saham Dah Masuk Portfolio

Langkah terakhir - sahkan saham dah masuk pegangan anda. Pergi ke tab Positions dan anda akan nampak Meta Platforms tersenarai dengan kuantiti 1 unit pada kos 615.28. Buying power juga dah dipotong serta-merta daripada USD 23,835 kepada USD 23,216.
Itu sahaja - keseluruhan proses dari carian sampai saham masuk portfolio mengambil masa kurang 5 minit. Bila anda jual saham US nanti dan nak kira untung rugi dengan tepat, jangan lupa faham cara pengiraan average cost untuk saham US/HK.
5 Tips Penting Sebelum Anda Beli Saham US Pertama
- Semak label pasaran semasa carian - nama syarikat yang hampir sama wujud di bursa berbeza (US vs HK). Pastikan ticker dan label betul.
- Guna Limit order, terutama waktu extended hours - kecairan nipis waktu pre-market dan after-hours menjadikan Market order berisiko harga terlajak.
- Nak cepat filled? Set limit = harga Ask - dan kadangkala anda dapat price improvement macam demo kami.
- Jangan lupa tetapan Trading Hours - kalau anda trade waktu pagi Malaysia (sesi after-hours US), wajib pilih "Include Extended Hours".
- Ambil kira fee minimum - untuk belian kecil, fee minimum makan peratusan lebih besar. Pertimbangkan saiz belian yang munasabah.
Soalan Lazim (FAQ)
Perlukah akaun CDS untuk beli saham US?
Saham US tidak disimpan dalam CDS - ia dipegang secara nominee oleh broker bagi pihak anda. Tetapi jika anda buka akaun dengan Malacca Securities, satu pembukaan akaun memberi anda akses kepada Bursa Malaysia (melalui CDS) dan pasaran global seperti US dan Hong Kong (melalui M+ Global).
Berapa modal minimum untuk beli saham US?
Minimum 1 unit sahaja - tiada sistem lot 100 unit macam Bursa. Dalam demo ini 1 unit META berharga sekitar USD 615, tetapi banyak saham US berharga bawah USD 50 seunit. M+ Global tidak menawarkan fractional share, jadi minimum tetap 1 unit penuh.
Apa itu extended trading hours?
Sesi dagangan di luar waktu rasmi pasaran US (9:30 pagi - 4:00 petang ET). Ia merangkumi pre-market (4:00 pagi - 9:30 pagi ET) dan after-hours (4:00 petang - 8:00 malam ET). Dalam waktu Malaysia musim panas US, keseluruhan tetingkap extended ialah 4:00 petang hingga 8:00 pagi keesokan hari.
Kenapa order saya filled pada harga lebih rendah daripada limit yang saya letak?
Itu dipanggil price improvement. Limit order bermaksud "harga ini atau lebih baik" - jika ada penjual sanggup jual lebih murah ketika order anda masuk, anda dapat harga yang lebih baik itu.
Bila saya boleh nampak fee sebenar transaksi?
Selepas transaksi selesai diproses. App akan paparkan mesej "The transaction fee can be viewed after stock liquidation" dalam Fee Details. Semak e-statement harian anda keesokan hari untuk pecahan fee muktamad.
Boleh ke guna Market order waktu extended hours?
Sangat tidak digalakkan. Waktu extended hours, jumlah pembeli dan penjual jauh lebih sedikit dan spread lebih lebar, jadi Market order boleh filled pada harga yang jauh dari jangkaan. Gunakan Limit order.
Adakah keuntungan saham US dikenakan cukai di Malaysia?
Keuntungan modal (capital gain) daripada jualan saham US tidak dikenakan cukai US bagi pelabur asing. Namun dividen saham US dikenakan cukai pegangan (withholding tax) 30% di peringkat US. Rujuk penasihat cukai untuk situasi peribadi anda.
Macam mana nak tahu saham US patuh syariah atau tidak?
Tidak seperti Bursa Malaysia yang ada senarai rasmi Majlis Penasihat Syariah SC, saham US memerlukan saringan sendiri - sama ada melalui indeks syariah antarabangsa atau kaedah saringan yang diiktiraf. Semak status terkini sebelum melabur kerana ia boleh berubah.
Kesimpulan
Membeli saham US dalam app M+ Global sebenarnya mudah: cari saham, tekan Buy, pilih Limit order, set harga, sahkan - dan dalam kes kami, filled dalam masa sesaat dengan harga lebih baik daripada yang diminta. Kunci utamanya ialah memahami tetapan Trading Hours (kerana waktu Malaysia dan US berbeza 12 jam) dan sentiasa menggunakan Limit order untuk kawalan harga.
Kalau anda dah bersedia nak mula membina portfolio sendiri, langkah pertama ialah buka akaun.
Buka akaun CDS dengan kami untuk akses pelaburan di Bursa Malaysia dan juga saham luar negara seperti US dan Hong Kong dalam satu akaun.
Baru nak belajar asas saham? Muat turun Ebook Asas Saham kami secara percuma.