Wall Street Dah Mula Pandang Ke Hadapan – Fokus Kini Pada Perbelanjaan Modal Syarikat(CAPEX)
<p>Ketika ramai menjangkakan pertumbuhan pendapatan suku tahunan paling perlahan dalam setahun untuk syarikat-syarikat gergasi Amerika, pelabur di Wall Street sudah pun melihat lebih jauh ke hadapan. Kini, perhatian mereka bukan…</p>

Ketika ramai menjangkakan pertumbuhan pendapatan suku tahunan paling perlahan dalam setahun untuk syarikat-syarikat gergasi Amerika, pelabur di Wall Street sudah pun melihat lebih jauh ke hadapan. Kini, perhatian mereka bukan lagi semata-mata pada angka keuntungan, tetapi kepada satu aspek yang jarang diberi perhatian — perbelanjaan modal atau capital expenditure (capex).
Di tengah-tengah ketidaktentuan akibat polisi tarif yang kerap berubah di bawah pentadbiran Donald Trump, pelabur kini lebih berminat untuk menilai bagaimana syarikat-syarikat besar membelanjakan wang mereka untuk membangunkan perniagaan — sama ada dalam bentuk pembelian mesin besar, pembangunan hartanah, atau projek jangka panjang lain. Cara mereka berbelanja memberi isyarat penting tentang keyakinan mereka terhadap ekonomi masa depan.
“Saya rasa syarikat takkan berani belanja besar dalam suasana sekarang,” kata Scott Ladner, CIO di Horizon Investments. “Keadaan sekarang buatkan mereka ambil pendekatan tunggu dan lihat. Mereka jadi lebih berhati-hati.”
Tanda-tanda awal memang menunjukkan perkara ini. Contohnya, syarikat pengangkutan terkenal JB Hunt Transport telah memotong pelan perbelanjaan modal untuk tahun ini — langkah yang juga diambil oleh FedEx bulan lalu. United Airlines pula menyediakan dua senario untung rugi — satu jika berlaku kemelesetan, satu lagi jika ekonomi kekal stabil. Tapi dalam kedua-dua senario pun, pelaburan jangka panjang mereka lebih rendah berbanding jangkaan sebelum ini.
“Suku pertama dah kira basi — lebih-lebih lagi sebab keadaan ekonomi berubah begitu drastik sejak beberapa minggu kebelakangan ini,” kata Paul Christopher dari Wells Fargo Investment Institute. “Kami lebih fokus pada panduan masa depan dari syarikat, terutamanya syarikat industri dan bahan mentah.”
Suasana Semakin Suram
Beberapa tinjauan ekonomi juga memburukkan lagi mood pasaran. Data dari beberapa cawangan Rizab Persekutuan menunjukkan pelan perbelanjaan modal pengeluar merosot pada suku pertama. Tinjauan optimisme perniagaan kecil oleh NFIB turut menunjukkan bacaan di bawah purata 51 tahun mereka. Malah, hanya 26% CEO yang disoal oleh Chief Executive magazine merancang untuk meningkatkan perbelanjaan modal — turun daripada 56% pada Januari.
Pengeluaran industri keseluruhan juga jatuh pada bulan Mac, pertama kali dalam empat bulan. Satu model ekonomi oleh Goldman Sachs menjangkakan ketidaktentuan polisi dan keadaan kewangan yang lebih ketat akan menekan pertumbuhan perbelanjaan modal sebanyak 4 mata peratusan.
“Panduan daripada syarikat pada suku ini akan jadi sangat sukar untuk diberi… dan untuk dipercayai,” kata Raheel Siddiqui dari Neuberger Berman. “Biasanya syarikat boleh beri panduan bila mereka nampak hala tuju, tapi sekarang semua serba tak pasti.”
Sebelum ini pun pelabur sudah menumpukan perhatian kepada perbelanjaan syarikat-syarikat teknologi gergasi dalam S&P 500 — yang digelar “Magnificent Seven” (Alphabet, Amazon, Apple, Meta, Microsoft, Nvidia dan Tesla). Mereka banyak melabur dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI), tapi baru-baru ini Microsoft secara tiba-tiba menghentikan pembinaan pusat data di Ohio, menunjukkan kebimbangan mula timbul tentang nilai sebenar pelaburan besar ini.
Tarif baru Trump dijangka turut menjejaskan perbelanjaan syarikat Big Tech, lebih-lebih lagi jika perang perdagangan mencetuskan kemelesetan. Jika itu berlaku, pelaburan AI juga mungkin akan diperlahankan.
“Saya yakin para CEO seluruh negara sekarang tengah merancang pelan B kalau berlaku kemelesetan, dan AI mungkin jadi antara yang dipotong,” kata Brent Schutte dari Northwestern Mutual Wealth Management.
Minggu depan pula, syarikat besar lain seperti Caterpillar, General Electric, Boeing, AT&T dan Dow akan bentangkan prestasi dan pelan masa depan mereka — ini akan jadi penunjuk penting sama ada syarikat bukan teknologi juga berani terus melabur untuk pertumbuhan.
Siapa Paling Terjejas?
Ketidaktentuan ekonomi akibat polisi tarif yang tidak konsisten ini beri kesan kepada semua syarikat — tetapi paling teruk ialah syarikat yang berintensifkan modal dan terlibat dalam perdagangan antarabangsa. Ini termasuk syarikat yang hasilkan komputer, elektronik, barangan elektrik, jentera berat, produk petroleum dan bahan kimia. Syarikat pengangkutan juga dijangka terkesan apabila permintaan pengguna mula menurun.
“Keyakinan CEO biasanya jadi mangsa pertama dalam perang perdagangan,” kata Deane Dray dari RBC Capital Markets. “Bila keyakinan goyah, projek tertangguh, kelulusan lambat, akhirnya projek dibatalkan dan perbelanjaan dipotong. Dan bila satu syarikat potong capex, itu bermakna pendapatan syarikat lain pun terjejas.”
Dray menjangka ada syarikat pengeluar yang mungkin tak keluarkan sebarang panduan langsung kerana terlalu banyak ketidaktentuan. Syarikat seperti Wesco, Fortive dan 3M dilihat antara yang paling terdedah.
Sektor logistik dan pengangkutan juga penting untuk diperhatikan. Ia cerminan kepada tahap kesihatan keseluruhan rantaian bekalan.
“Saya rasa banyak syarikat logistik akan mula potong capex,” kata penganalisis Jason Seidl dari TD Cowen. “Mereka mungkin tangguh beli lori baru sebab kenderaan sedia ada masih baru.”
Keputusan ini pula akan beri kesan kepada syarikat pembuat lori dan alat ganti seperti Cummins dan Paccar, sebab permintaan terhadap kenderaan baru akan jatuh jika syarikat logistik tak jadi tambah armada.
Namun begitu, masih ada kemungkinan yang positif. Jika tarif yang dikenakan oleh Trump berjaya mendorong syarikat untuk bawa balik aktiviti pembuatan ke AS, mungkin ada juga yang akan bina kilang baru atau luaskan operasi — yang boleh sedikit sebanyak mengimbangi pengurangan dalam pelaburan lain.
“Nak ambil hati pentadbiran Trump? Senang saja — buatlah apa yang mereka nak,” kata Ladner. “Contohnya, bina kemudahan pengeluaran di Amerika. Ini satu bentuk ‘president signalling’ — tunjukkan yang syarikat sokong dasar kerajaan.”
Geopolitik & Kesan ke Atas Saham: Peluang atau Risiko?
Ketegangan geopolitik seperti perang, sekatan ekonomi, atau konflik perdagangan boleh mengubah landskap pelaburan dengan pantas. Harga minyak, mata wang, dan sentimen pelabur mudah terkesan, memberi impak kepada saham global dan tempatan.
Bagaimana nak manfaatkan peluang ini? Ilmu adalah kunci! Dapatkan pendrive penuh ilmu tentang saham dari Mahersaham – panduan lengkap untuk memahami pasaran, menganalisis saham, dan membuat keputusan bijak.
Jangan biarkan ketidaktentuan geopolitik menghalang kejayaan pelaburan anda. Dapatkan sekarang!