Cara Tutup Akaun Trading M+ dan CDS: Borang, Tandatangan & Pos (2026)
Ada beberapa sebab orang mahu tutup akaun trading: sudah lama tidak aktif, mahu kurangkan akaun yang dipegang, atau tidak lagi berminat dengan saham. Apa pun sebabnya, penutupan akaun M+ dan akaun CDS perlu dibuat secara bertulis dengan tandatangan basah. Ia tidak boleh dibuat melalui chat atau dalam app.
Artikel ini terangkan perkara yang perlu diselesaikan sebelum tutup akaun, cara menjana borang lengkap yang sudah diisi melalui dashboard Mahersaham, cara tandatangan, dan cara menghantarnya supaya tidak ditolak oleh M+.
Jawapan Ringkas
Kosongkan akaun dahulu (baki tunai RM0, tiada saham, tiada hutang tertunggak). Kemudian log masuk ke mahersaham.com/dashboard/borang/tutup-akaun dengan email berdaftar, jana borang, print, tandatangan dengan pen, hantar gambar kepada remisier untuk semakan, dan poskan borang asal bersama salinan IC ke alamat yang tertera pada borang. Anda juga boleh walk-in ke cawangan M+.
Sebelum Tutup Akaun: Selesaikan 3 Perkara Ini
M+ hanya akan memproses penutupan jika akaun anda benar-benar kosong. Semak tiga perkara ini dahulu:
- Baki tunai RM0 - keluarkan semua baki dalam akaun Trust ke akaun bank anda. Jika ada masalah withdraw, rujuk panduan masalah withdrawal M+.
- Tiada saham dalam portfolio - jual semua pegangan, atau pindahkan ke akaun CDS lain milik anda sebelum tutup.
- Tiada hutang atau baki tertunggak - termasuk dalam akaun global (saham luar negara). Jika ada amaun tertunggak, M+ akan minta ia dijelaskan dahulu sebelum penutupan diproses.
Jika sebab utama anda ialah "dah lama tak trade" atau "tak pandai", akaun yang tidak digunakan tidak akan ditutup secara automatik. Ia hanya bertukar status kepada dormant selepas 36 bulan berturut-turut tanpa transaksi, dan boleh diaktifkan semula bila-bila masa melalui Bursa Anywhere. Jika anda mahu cuba belajar semula, kelas ada di mahersaham.com/courses. Keputusan tetap di tangan anda.
Dua Cara Tutup Akaun
- Walk-in ke cawangan M+ - sesuai jika anda tinggal berdekatan cawangan Malacca Securities.
- Borang auto-isi dan pos - jana borang di dashboard Mahersaham, tandatangan, dan poskan. Sesuai untuk kebanyakan client yang jauh dari cawangan. Langkahnya di bawah.
Cara Jana Borang Tutup Akaun di Dashboard
- Log masuk ke mahersaham.com menggunakan email yang sama dengan rekod akaun CDS anda.
- Buka mahersaham.com/dashboard/borang/tutup-akaun. Nama, nombor IC, client code dan nombor CDS akan diisi secara automatik daripada rekod kami.
- Semak semua maklumat. Jika ada ruangan yang belum lengkap, borang akan senaraikannya dalam warna merah. Lengkapkan di skrin sebelum print, atau tulis tangan dengan kemas.
- Jana PDF dan print satu muka (single-side). Jangan print depan-belakang.
Anda tidak perlu tahu client code atau nombor CDS sendiri. Selagi anda log masuk dengan email yang berdaftar, sistem akan isikan di tempat yang betul.
Apa Yang Ada Dalam PDF
PDF yang dijana bermula dengan muka surat ARAHAN, diikuti borang-borang berikut yang sudah diisi:
| Borang | Salinan | Catatan |
|---|---|---|
| Updating of Account Particulars (2 muka) | 1 | Kotak penutupan akaun trading sudah ditanda |
| Borang CDS Bursa (FMN070) | 3 | Permohonan tutup akaun CDS. Disertakan 1 muka nota Bursa yang tidak perlu ditandatangan |
| Change of Signature | 2 | Photostat dahulu, baru tandatangan kedua-dua salinan |
Sediakan juga 1 salinan IC (depan dan belakang) yang jelas.
Cara Tandatangan
Gunakan pen mata bulat berdakwat hitam atau biru:
- Updating of Account Particulars - tandatangan di ruang "Signature of Client" di bawah "Requested by".
- Borang CDS - tandatangan dalam kotak besar "Signature(s) of Applicant" di sebelah kiri bawah, pada setiap 3 salinan.
- Change of Signature - tandatangan atas garis bertitik "Yours faithfully" pada setiap 2 salinan.
Tiga perkara yang paling kerap menyebabkan borang ditolak:
- Menulis tarikh atau "with effect from". Biarkan ruangan tarikh kosong.
- Menggunakan liquid paper atau correction tape.
- Tandatangan tidak sama dengan tandatangan dalam rekod akaun.
Cara Hantar Borang
- Snap gambar semua borang yang sudah ditandatangan dan hantar kepada remisier melalui WhatsApp atau Telegram untuk disemak sebelum pos. Ini mengelakkan borang ditolak oleh M+ dan anda terpaksa ulang semula.
- Selepas disahkan OK, masukkan semua borang dan salinan IC ke dalam plastik, kemudian ke dalam sampul.
- Poskan ke alamat yang tertera pada muka surat ARAHAN dalam PDF anda.
- Hantar nombor tracking kepada remisier selepas pos.
Remisier akan semak dan tandatangan bahagian remisier, kemudian serahkan kepada M+ untuk diproses. Isi maklumat secara online memang boleh, tetapi M+ hanya menerima borang asal yang ditandatangan dengan pen. Salinan imbasan atau gambar tidak diterima sebagai borang akhir.
Berapa Lama Proses Penutupan?
Borang fizikal biasanya mengambil masa sekitar 20 hingga 30 hari bekerja selepas diterima. Tempoh boleh lebih lama jika M+ meminta dokumen tambahan, contohnya salinan IC yang lebih jelas, atau jika ada baki tertunggak yang perlu dijelaskan dahulu.
Soalan Lazim
Boleh isi borang tutup akaun secara online sahaja?
Maklumat boleh diisi secara online di dashboard, tetapi tandatangan mesti menggunakan pen dan borang asal yang ditandatangan perlu dipos atau dihantar ke cawangan M+.
Saya tak tahu client code dan nombor CDS saya. Macam mana?
Log masuk ke dashboard dengan email yang berdaftar dengan akaun CDS anda. Client code dan nombor CDS akan diisi secara automatik. Jika email anda tidak dikenali, hubungi team kami di @mahersahamplatform.
Saya masih ada saham dalam akaun. Boleh terus tutup?
Tidak. Jual semua saham atau pindahkan ke akaun CDS lain milik anda dahulu, dan pastikan baki tunai RM0.
Kenapa M+ belum proses walaupun borang sudah sampai?
Punca biasa ialah salinan IC tidak jelas, tandatangan tidak sepadan, atau masih ada baki tertunggak (termasuk akaun global). Remisier akan maklumkan apa yang M+ minta.
Kalau saya tak tutup, akaun akan ditutup sendiri?
Tidak. Akaun yang tidak digunakan selama 36 bulan berturut-turut hanya bertukar status kepada dormant, dan boleh diaktifkan semula melalui Bursa Anywhere.
Boleh tukar jenis akaun sahaja tanpa tutup?
Boleh. Jika anda mahu tukar dari akaun konvensional ke Islamik atau sebaliknya, tidak perlu tutup akaun. Gunakan borang tukar jenis akaun.