IPO Big Caring Group (BCG 5358): Rangkaian Farmasi Terbesar Malaysia Buka Permohonan Pada RM1.08

•By Maher•12 min bacaan
IPO Big Caring Group (BCG 5358): Rangkaian Farmasi Terbesar Malaysia Buka Permohonan Pada RM1.08
This article is also available in English
A

Big Caring Group Bhd, pengendali rangkaian farmasi runcit terbesar di Malaysia, secara rasmi membuka permohonan IPO pada 29 Oktober 2026 dengan harga runcit maksimum RM1.08 sesaham. Syarikat ini dijadual tersenarai di Main Market Bursa Malaysia pada 19 November 2026 dengan nama saham BCG (kod 5358). Pada harga RM1.08, market capnya sekitar RM8.0 bilion, menjadikan ia antara IPO terbesar tahun ini.

Jika anda pernah membeli ubat di BIG Pharmacy atau Caring Pharmacy, anda sudah kenal produk syarikat ini. Persoalannya, adakah sahamnya berbaloi pada PE 41.5 kali? Artikel ini merumuskan fakta penting daripada prospektus rasmi bertarikh 29 Oktober 2026: butiran tawaran, agihan saham, kegunaan dana, prestasi kewangan empat tahun, perbandingan dengan saham runcit lain, serta kelebihan dan risiko yang perlu anda faham sebelum memohon.

Ringkasan pantas: Harga runcit maksimum RM1.08 | Market cap RM8.0 bilion | PE 41.5x | Patuh Syariah | Permohonan tutup 5 petang, 5 November 2026 | Undian 10 November | Senarai 19 November 2026. Lihat data IPO →

Nota: Pada Mei 2026, kami pernah menulis liputan awal Big Caring berdasarkan laporan media yang menganggarkan IPO bernilai RM3 bilion. Angka sebenar dalam prospektus berbeza: jumlah kutipan sekitar RM2.03 bilion. Artikel ini menggunakan angka prospektus.

Siapa Big Caring Group Bhd?

Big Caring Group diperbadankan pada 2 Mei 2013 dan beroperasi sepenuhnya di Malaysia. Kumpulan ini mengendalikan 668 outlet farmasi pada tarikh amalan terakhir (LPD) di bawah enam jenama: BIG Pharmacy, CARiNG Pharmacy, Georgetown Pharmacy, Wellings Pharmacy, Ting Pharmacy dan iCare Pharmacy. Ia satu-satunya rangkaian farmasi yang hadir di kesemua 13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan.

Menurut kajian pasaran bebas (IMR) oleh Frost & Sullivan dalam prospektus, Big Caring memegang 24.2% pasaran farmasi runcit Malaysia berdasarkan hasil 2025, dan 43.8% dalam kalangan rangkaian farmasi teratur. Sebagai perbandingan, pesaing terdekat seperti Alpro (5.4%), Health Lane (4.1%) dan Watsons Pharmacy (4.0%) jauh di belakang. Bakinya 55.5% dipegang oleh farmasi bebas dan pemain kecil, jadi ruang untuk rangkaian besar terus mengambil bahagian pasaran masih ada.

Integrasi menegak: bukan sekadar kedai farmasi

Apa yang membezakan Big Caring daripada rangkaian runcit biasa ialah integrasi menegak. Kumpulan memiliki:

  • Yanling - pengeluaran produk kesihatan sendiri
  • Medispec - pengimportan dan pengedaran ubat (diambil alih pada 2025), dengan sasaran lebih 600 produk berdaftar
  • Your Physio - perkhidmatan fisioterapi
  • Tele-konsultasi dan platform MyHA - perkhidmatan kesihatan digital

Program keahliannya mempunyai sekitar 7.9 juta ahli berdaftar, satu aset data pelanggan yang besar untuk pasaran Malaysia. Pada FYE 2026, segmen runcit menyumbang 92.9% hasil, manakala Medispec, Yanling dan lain-lain menyumbang 7.1%. Dari segi produk, barangan penjagaan kesihatan (42.9%) dan farmaseutikal (36.3%) mendominasi, diikuti produk kecantikan (12.3%).

Pengasas, pengerusi dan dana ekuiti persendirian

Kumpulan diasaskan bersama oleh Lee Meng Chuan (Pengarah Urusan Kumpulan/CEO) dan Lim Sin Yin (Pengarah Eksekutif). Pengerusinya ialah Tan Sri Dato' Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, bekas Ketua Pengarah Kesihatan. Penyokong utama di belakang tabir ialah dana ekuiti persendirian Creador V melalui IPSB, yang memegang 33.7% sebelum IPO. Pertumbuhan besar kumpulan dalam tiga tahun lalu datang daripada pengambilalihan Caring Pharmacy, yang dahulunya syarikat tersenarai di Bursa sebelum diswastakan.

Butiran IPO Big Caring Group

ButiranMaklumat
Nama SyarikatBig Caring Group Bhd
Nama Saham / KodBCG / 5358
PasaranMain Market, Bursa Malaysia
Harga Runcit (maksimum)RM1.08 sesaham
Mekanisme harga akhirHarga runcit akhir = lebih rendah antara RM1.08 atau harga institusi (bookbuilding). Jika lebih rendah, perbezaan dipulangkan kepada pemohon berjaya
Status SyariahPatuh Syariah (Majlis Penasihat Syariah SC)
Jumlah Saham Selepas IPO7,381,835,680 saham
Market Cap pada RM1.08Kira-kira RM8.0 bilion
Terbitan Awam (saham baru)590.5 juta saham (8.0%) - RM637.8 juta untuk syarikat
Tawaran Jualan (OFS)1,291.8 juta saham (17.5%) - RM1,395.2 juta kepada pemegang saham penjual
Jumlah Saiz IPOSehingga 1,882.4 juta saham (25.5%) - kira-kira RM2.03 bilion
EPS FYE 2026 (modal diperbesarkan)2.60 sen
PE pada RM1.0841.5 kali
NA Sesaham Pro FormaRM0.16 (P/NA kira-kira 6.75 kali)
Dasar DividenSehingga 50% daripada PATAMI
Penasihat Utama Bersama & Penaja JaminMaybank IB, RHB Investment Bank, AmInvestment Bank
Issuing HouseMalaysian Issuing House Sdn Bhd

Mekanisme harga runcit ini penting. Anda memohon dan membayar pada RM1.08, tetapi harga akhir hanya ditetapkan pada 10 November selepas proses bookbuilding institusi. Jika institusi menetapkan harga lebih rendah, contohnya RM1.02, anda membayar RM1.02 dan baki dipulangkan. Harga akhir tidak akan melebihi RM1.08. Ringkasan rasmi turut dilaporkan oleh The Edge Malaysia dan draf prospektus boleh dirujuk di laman Suruhanjaya Sekuriti.

Status patuh Syariah BCG kekal sah sehingga semakan seterusnya oleh Majlis Penasihat Syariah, yang dikemas kini pada Jumaat terakhir bulan Mei dan November. Senarai rasmi boleh disemak di laman Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Lihat data IPO →

Tarikh Penting Permohonan

PeristiwaTarikh
Permohonan runcit dibukaKhamis, 29 Oktober 2026, 10.00 pagi
Permohonan runcit ditutupKhamis, 5 November 2026, 5.00 petang
Tawaran institusi ditutup6 November 2026
Penetapan harga akhir dan undian (balloting)10 November 2026
Peruntukan saham18 November 2026
Tarikh penyenaraianKhamis, 19 November 2026

Tempoh permohonan runcit hanya seminggu, lebih pendek daripada kebanyakan IPO ACE Market. Jika ini kali pertama anda memohon IPO, ikut langkah dalam artikel cara mohon IPO Bursa guna MPlus Global. Senarai IPO aktif juga boleh disemak di halaman IPO Bursa Malaysia.

Agihan Saham: Kenapa Peluang Dapat Melalui Undian Sangat Tipis

Walaupun IPO ini bernilai RM2.03 bilion, bahagian untuk orang awam sangat kecil:

  • Orang awam Malaysia (undian): 147.6 juta saham (2.0%), dibahagi sama rata, 73.8 juta untuk Bumiputera dan 73.8 juta untuk bukan Bumiputera
  • Eligible Persons (Pink Form): 120 juta saham (1.6%) untuk pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kumpulan
  • Pelabur Bumiputera diluluskan MITI: 922.7 juta saham (12.5%)
  • Pelabur institusi lain: 692 juta saham (9.4%)

Pada RM1.08, tranche undian awam hanya bernilai sekitar RM159 juta, kurang daripada 8% saiz keseluruhan IPO. Untuk jenama yang dikenali ramai dan IPO kedua terbesar tahun ini, kami jangka tranche ini akan terlebih langganan (oversubscribed) dengan teruk. Jadi jangan terkejut jika anda tidak berjaya dalam undian, atau hanya mendapat lot kecil. Pelabur Bumiputera yang layak boleh juga menyemak laluan kuota MITI; baca panduan semak status permohonan IPO MITI untuk memahami prosesnya.

Tranche institusi pula disokong oleh 15 pelabur cornerstone yang telah komited mengambil 665.5 juta saham (9.0%) pada harga institusi. Senarainya termasuk nama besar seperti abrdn, AHAM, AIIMAN, Eastspring, FIL (Fidelity), First Sentier, IFC (Bank Dunia), JPMorgan Asset Management, Kenanga, Principal dan lain-lain. Selain itu, terdapat opsyen lebihan peruntukan (greenshoe) sehingga 225.1 juta saham daripada IPSB, dengan tempoh penstabilan harga sehingga 30 hari selepas penyenaraian.

Infografik IPO Big Caring Group Bhd (BCG 5358): harga runcit maksimum RM1.08, market cap RM8.0 bilion, PE 41.5x, permohonan 29 Oktober hingga 5 November 2026, penyenaraian 19 November 2026, agihan 1.88 bilion saham
Ringkasan IPO Big Caring Group berdasarkan prospektus bertarikh 29 Oktober 2026.

Kegunaan Dana: 89.5% Untuk Bayar Hutang

Ini bahagian yang ramai terlepas pandang. Daripada RM2.03 bilion yang dikutip, hanya RM637.8 juta (Terbitan Awam) masuk ke syarikat. Baki RM1,395.2 juta daripada Tawaran Jualan pergi terus kepada pemegang saham penjual, iaitu UPSB (syarikat pegangan pengasas) dan IPSB (Creador). Jika anda belum jelas beza kedua-dua jenis tawaran ini, baca perbezaan Public Issue, Offer For Sale dan Private Placement.

Kegunaan (Terbitan Awam)Jumlah%Tempoh
Bayar balik pinjaman bankRM570.7 juta89.5%3 bulan
Pusat pengedaran baruRM30.0 juta4.7%36 bulan
Perbelanjaan penyenaraianRM37.1 juta5.8%Serta-merta

Membayar hutang bukan perkara buruk. Pinjaman kumpulan mencecah RM1.36 bilion pada FYE 2026, dengan kos kewangan RM88.5 juta setahun. Selepas IPO dan pembayaran balik hutang, nisbah gearing pro forma (termasuk liabiliti pajakan) dijangka turun daripada 2.8 kali kepada 0.9 kali. Penjimatan faedah akan terus menaikkan untung bersih. Namun maksudnya, dana IPO ini bukan untuk membiayai pertumbuhan baru; ia membersihkan kunci kira-kira selepas pengambilalihan yang dibiayai hutang.

Prestasi Kewangan Empat Tahun

Ringkasan prestasi daripada prospektus (RM juta, tahun kewangan berakhir 30 Jun):

PerkaraFYE 2023FYE 2024FYE 2025FYE 2026
Hasil1,110.72,171.43,412.04,024.0
Untung Kasar232.4465.1845.81,212.4
EBITDA106.5194.6380.7552.4
PATAMI37.037.2122.3191.6
Margin Kasar20.9%21.4%24.8%30.1%
Margin PATAMI3.3%1.7%3.6%4.8%
Jumlah Pinjaman155.0959.21,331.21,360.2
Nisbah Semasa1.00x1.07x1.00x0.77x
SSSG-7.3%9.6%7.3%

Angka di atas nampak hebat: hasil berkembang pada CAGR 53.6% dari FYE 2023 hingga FYE 2026, dan EBITDA pada CAGR 73.1%. Tetapi perlu faham sumbernya. Lonjakan besar pada FYE 2024 dan FYE 2025 datang terutamanya daripada pengambilalihan Caring Pharmacy, yang menyumbang hasil RM727.7 juta pada FYE 2024 dan RM1.62 bilion pada FYE 2025. Pinjaman melonjak daripada RM155 juta kepada RM959 juta dalam tempoh yang sama. Jadi sebahagian besar pertumbuhan ini dibeli, bukan organik.

Pertumbuhan FYE 2026 lebih mencerminkan prestasi asas: hasil naik 17.9%, EBITDA naik 45.1% dan PATAMI naik 56.7%. Margin kasar meningkat daripada 24.8% kepada 30.1%, hasil daripada skala pembelian yang lebih besar dan sumbangan produk sendiri (Yanling, Medispec). Jualan kedai sedia ada (SSSG) juga konsisten antara 7.3% dan 9.6% setahun, petanda permintaan yang sihat.

Aliran tunai operasi FYE 2026 ialah RM338.4 juta, jauh di atas PATAMI. Ini perkara biasa bagi peruncit kerana kos susut nilai dan pajakan kedai yang tinggi. Untuk konteks industri, IMR menganggarkan pasaran farmasi runcit Malaysia bernilai RM15.4 bilion pada 2025 dan dijangka mencecah RM23.3 bilion menjelang 2030, iaitu CAGR 8.7%.

Penilaian: PE 41.5x Berbanding Saham Runcit Lain

Prospektus sendiri membandingkan Big Caring dengan empat saham runcit tersenarai (berdasarkan data 12 bulan terkini):

SyarikatMarket Cap (RM bil)PEMargin EBITDAMargin PATAMIPertumbuhan Hasil
99 Speed Mart26.539.5x10.0%5.5%17.2%
Mr D.I.Y.12.119.4x25.5%12.2%6.9%
Eco-Shop8.532.0x18.1%9.1%4.6%
7-Eleven Malaysia2.2166.8x10.3%0.4%9.4%
Median-35.7x14.2%7.3%8.1%
Big Caring (BCG)8.041.5x13.7%4.8%17.9%

Pada RM1.08, BCG dinilai pada premium kira-kira 16% berbanding median PE kumpulan setara, dan lebih mahal daripada 99 Speed Mart yang mempunyai margin bersih lebih tinggi. Hujah untuk premium ini ialah pertumbuhan: hasil BCG berkembang 17.9% dan PATAMI 56.7% pada FYE 2026, jauh lebih laju daripada Mr D.I.Y. atau Eco-Shop. Kes 7-Eleven Malaysia pula terpesong kerana untungnya jatuh, jadi PE 166.8x tidak mewakili.

Satu lagi ukuran: P/NA sekitar 6.75 kali. Pelabur membayar hampir tujuh kali nilai buku, kebanyakannya untuk jenama, rangkaian kedai dan muhibah daripada pengambilalihan. Jika anda baru dengan konsep ini, panduan PE ratio ikut sektor di Malaysia menerangkan julat PE yang lazim bagi setiap industri.

Kelebihan IPO Big Caring

  • Peneraju pasaran yang jelas - 24.2% pasaran farmasi runcit, hampir 4.5 kali ganda pemain kedua (Alpro, 5.4%). Skala ini memberi kuasa rundingan harga dengan pembekal.
  • Permintaan defensif - ubat dan produk kesihatan dibeli tanpa mengira keadaan ekonomi. Populasi Malaysia yang semakin menua menyokong permintaan jangka panjang.
  • SSSG yang kukuh - jualan kedai sedia ada tumbuh 7.3% hingga 9.6% setahun, menunjukkan kedai lama masih berkembang, bukan sekadar bergantung pada kedai baru.
  • Pelan pengembangan jelas - 40 hingga 50 outlet baru setahun untuk 3 hingga 5 tahun, dengan sasaran SSSG 7% hingga 9%.
  • Sokongan institusi besar - 15 pelabur cornerstone termasuk dana global seperti FIL, JPMorgan AM dan IFC sudah komited mengambil 9.0% saham.
  • Kunci kira-kira lebih bersih selepas IPO - gearing turun daripada 2.8 kali kepada 0.9 kali, dan kos faedah akan berkurang dengan ketara.
  • Patuh Syariah dengan dasar dividen sehingga 50% PATAMI.

Risiko dan Kelemahan Yang Perlu Diambil Kira

1. Pertumbuhan dibiayai hutang melalui pengambilalihan

Lonjakan hasil daripada RM1.1 bilion kepada RM4.0 bilion dalam tiga tahun banyak datang daripada pengambilalihan Caring Pharmacy dan Medispec, dibiayai pinjaman. Integrasi pengambilalihan membawa risiko tersendiri, dan pertumbuhan organik masa depan tidak akan sepantas angka sejarah.

2. Nisbah semasa 0.77 kali

Pada 30 Jun 2026, liabiliti semasa melebihi aset semasa. Nisbah 0.77 kali bermakna kumpulan bergantung pada aliran tunai harian dan kemudahan pinjaman untuk membayar obligasi jangka pendek. Ini sebab utama 89.5% dana IPO digunakan untuk membayar hutang.

3. Margin bersih nipis 4.8%

Walaupun margin kasar 30.1%, hanya 4.8 sen daripada setiap RM1 hasil menjadi PATAMI selepas sewa, gaji ahli farmasi, faedah dan kepentingan minoriti. Margin nipis bermakna sedikit kenaikan kos, persaingan harga atau dasar kawalan harga ubat boleh memberi kesan besar kepada untung.

4. Penilaian premium

PE 41.5x berbanding median setara 35.7x, dan P/NA 6.75x. Harga ini sudah mengambil kira pertumbuhan yang kuat. Jika pertumbuhan perlahan, ruang untuk harga saham jatuh adalah besar.

5. Pemegang saham sedia ada menjual sebahagian pegangan

Sekitar 69% daripada saham IPO ialah Tawaran Jualan. Pegangan IPSB (Creador) turun daripada 33.7% kepada 19.3% (16.3% jika greenshoe dilaksanakan sepenuhnya). Ini keluar separa yang lazim bagi dana ekuiti persendirian, tetapi pelabur perlu sedar bahawa sebahagian besar wang IPO ini pergi kepada penjual, bukan syarikat. Moratorium 6 bulan dikenakan ke atas promoter dan IPSB; baca kenapa saham IPO boleh jatuh selepas tempoh lock-up untuk memahami risiko tamat moratorium.

Risiko lain

  • Persaingan - Watsons, Guardian, Alpro serta platform dalam talian dan rentas sempadan.
  • Peraturan - pelesenan farmasi dan dasar ketelusan atau kawalan harga ubat.
  • Tenaga kerja - kekurangan ahli farmasi berdaftar boleh melambatkan pembukaan outlet baru.
  • Liabiliti produk - kesilapan preskripsi, penarikan balik produk dan risiko reputasi.

Siapa Pemegang Saham Utama Selepas IPO?

Selepas IPO (tanpa greenshoe), UPSB memegang 34.4%, IPSB (Creador V) 19.3%, Lee Meng Chuan 7.3% secara langsung dan Lim Sin Yin 3.7% secara langsung. Secara keseluruhan, kepentingan langsung dan tidak langsung kedua-dua pengasas kekal sekitar 45.4%, jadi mereka masih mempunyai kepentingan besar dalam prestasi syarikat selepas penyenaraian.

Perincian penuh termasuk analisis segmen, struktur hutang, kajian industri dan penilaian kami ada dalam laporan Gold. Baca analisis penuh prospektus →

Review IPO dan IPO Financing

Masih menimbang sama ada mahu memohon? Kami akan mengadakan sesi review IPO Big Caring secara dalam talian dan percuma pada Rabu, 4 November 2026, jam 3:30 petang, sehari sebelum permohonan runcit ditutup. Remisier akan menghuraikan prospektus, penilaian dan strategi permohonan. Sertai Review IPO bersama Remisier →

Bagi yang mahu memohon dengan kuantiti lebih besar, kemudahan pembiayaan IPO tersedia. Mohon IPO Financing 5x/10x → Ingat, dengan tranche awam sekecil 2.0%, peluang mendapat peruntukan besar adalah rendah, dan pembiayaan menggandakan potensi untung serta rugi. Fahami risikonya dahulu dalam artikel margin dan IPO financing saham.

Soalan Lazim (FAQ)

Berapa harga IPO Big Caring Group?
Harga runcit maksimum ialah RM1.08 sesaham. Harga akhir ialah yang lebih rendah antara RM1.08 atau harga institusi yang ditetapkan pada 10 November 2026, dan perbezaan akan dipulangkan jika harga akhir lebih rendah.

Bila tarikh tutup permohonan IPO Big Caring?
Permohonan runcit dibuka 10.00 pagi, 29 Oktober 2026 dan ditutup 5.00 petang, 5 November 2026. Undian dijalankan pada 10 November dan saham tersenarai pada 19 November 2026.

Adakah saham BCG patuh Syariah?
Ya. Saham Big Caring Group diklasifikasikan sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti, sah sehingga semakan seterusnya.

Berapa PE IPO Big Caring Group?
Berdasarkan PATAMI FYE 2026 sebanyak RM191.6 juta dan 7.38 bilion saham selepas IPO, EPS ialah 2.60 sen dan PE pada RM1.08 ialah 41.5 kali, berbanding median 35.7 kali bagi saham runcit setara.

Kenapa peluang berjaya dalam undian IPO Big Caring rendah?
Tranche undian awam hanya 147.6 juta saham atau 2.0% daripada modal diperbesarkan, iaitu sekitar RM159 juta, berbanding jumlah IPO RM2.03 bilion. Separuh daripadanya diperuntukkan untuk Bumiputera. Permintaan dijangka jauh melebihi bekalan.

Kesimpulan

IPO Big Caring Group menawarkan peneraju farmasi runcit Malaysia yang patuh Syariah, dengan permintaan defensif, SSSG kukuh dan sokongan pelabur institusi besar. Namun harga RM1.08 sudah meletakkan PE 41.5 kali, pertumbuhan sejarahnya banyak datang daripada pengambilalihan berhutang, dan margin bersih masih nipis. Pasaran saham sentiasa tidak menentu, termasuk prestasi saham IPO selepas penyenaraian, jadi buat keputusan berdasarkan kajian sendiri dan tahap risiko anda.

Sebelum memohon IPO ini atau IPO lain yang akan datang, pastikan anda sudah mempunyai akaun CDS yang aktif.

Buka akaun CDS untuk melabur di Bursa Malaysia dan juga saham luar negara seperti US dan Hong Kong.

Muat turun Ebook Asas Saham percuma untuk memahami asas pelaburan sebelum membuat keputusan.

Penafian: Artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan dan bukan cadangan untuk membeli atau menjual mana-mana saham. Pelaburan saham melibatkan risiko dan prestasi lalu tidak menjamin pulangan masa depan.

Bacaan Lanjut

Kongsi: