IPO KK Mart (KKMART 5360): Rangkaian 1,106 Kedai Serbaneka Terbesar Malaysia Pada RM0.55 - TIDAK Patuh Syariah

•By Maher•13 min bacaan
IPO KK Mart (KKMART 5360): Rangkaian 1,106 Kedai Serbaneka Terbesar Malaysia Pada RM0.55 - TIDAK Patuh Syariah
This article is also available in English
A

⚠️ AMARAN: IPO Ini TIDAK Patuh Syariah

Prospektus KK Mart tidak menyatakan sebarang klasifikasi patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (SC). KK Mart menjual produk tembakau (27.1% hasil kedai FYE2026) dan minuman keras. Pelabur Muslim yang mengamalkan pelaburan patuh Syariah dinasihatkan untuk mengelakkan IPO ini. Artikel ini disediakan untuk tujuan maklumat sahaja.

KK Mart Retail Berhad (KKMART, kod 5360), syarikat di sebalik rangkaian kedai serbaneka 24 jam KK Super Mart, membuka permohonan IPO pada 26 November 2026 dengan harga runcit maksimum RM0.55 sesaham. Syarikat ini dijadual tersenarai di Main Market Bursa Malaysia pada 15 Disember 2026. Pada harga runcit, nilai pasarannya kira-kira RM1.93 bilion.

Dengan 1,106 kedai di Wilayah Persekutuan dan sembilan negeri, KK Mart ialah pengendali kedai serbaneka (convenience mart) terbesar di Malaysia mengikut bilangan kedai. Hasilnya terus naik setiap tahun, tetapi untung bersihnya hampir tidak bergerak sejak tiga tahun lepas. Artikel ini merumuskan fakta penting daripada prospektus rasmi bertarikh 26 November 2026: butiran tawaran, agihan saham, kegunaan dana, prestasi kewangan, penilaian berbanding rakan sektor, insiden lalu dan risiko yang perlu difahami.

Ringkasan pantas: Harga runcit maksimum RM0.55 | Market cap RM1.93 bilion | PE 18.8x (FYE2026) | TIDAK patuh Syariah | Permohonan tutup 5 petang, 2 Disember 2026 | Undian 4 Disember | Senarai 15 Disember 2026. Lihat data IPO penuh →

Siapa KK Mart Retail Berhad?

Kisah KK Mart bermula pada tahun 2001 apabila Datuk Seri Chai Kee Kan bersama adik-beradiknya membuka kedai pertama di Kuchai Lama, Kuala Lumpur, sebagai perniagaan milikan tunggal. Syarikat operasi KK Supermart & Superstore Sdn Bhd ditubuhkan pada 2003. Syarikat induk yang akan disenaraikan pula diperbadankan pada 27 September 2023 sebagai KK Supergold Sdn Bhd, ditukar nama kepada KK Mart Retail pada Februari 2025 dan menjadi syarikat awam pada Mac 2026.

Hari ini, Datuk Seri Chai ialah Pengarah Urusan Kumpulan, manakala Pengerusi ialah Tan Sri Abd Rahman Bin Mamat, seorang pengarah bebas bukan eksekutif.

1,106 kedai, hampir semuanya buka 24 jam

Setakat tarikh praktikal terkini (LPD) dalam prospektus, KK Mart mengendalikan 1,106 kedai. Hanya lapan kedai tidak beroperasi 24 jam, kerana terletak dalam bangunan seperti universiti, pusat beli-belah atau hab pengangkutan. Rangkaiannya tertumpu di kawasan tengah:

  • Tengah (Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya): 746 kedai (67.5%)
  • Selatan (Johor, Melaka, Negeri Sembilan): 237 kedai (21.4%)
  • Utara (Perak, Pulau Pinang, Kedah): 83 kedai
  • Pantai Timur (Pahang): 30 kedai
  • Malaysia Timur (Sarawak): 10 kedai

Pertumbuhannya pantas. Bilangan kedai naik daripada 777 (Jun 2024) kepada 890 (Jun 2025), 1,042 (Jun 2026) dan 1,106 pada LPD. Syarikat menyasarkan lebih 1,500 kedai menjelang Jun 2028, iaitu purata 20 kedai baharu sebulan pada FYE2027 dan 24 sebulan pada FYE2028. Ia juga merancang memasuki Terengganu, Perlis, Kelantan dan Sabah menjelang Jun 2027.

Selain kedai fizikal, KK Mart menjual melalui laman web sendiri serta GrabMart, ShopeeFood dan Foodpanda. Ia mempunyai 182 produk jenama sendiri, aplikasi KK Rewards dan konsep KK Concept Store yang menjual makanan sedia dimakan.

Kedudukan dalam industri

Menurut laporan penyelidikan pasaran bebas (IMR) oleh Frost & Sullivan dalam prospektus, KK Mart ialah peneraju segmen kedai serbaneka (convenience mart) mengikut bilangan kedai dan hasil 2025, dengan pegangan 77.6% dalam segmen tersebut. Jika dikira dalam kumpulan lebih luas, iaitu semua peruncit serbaneka di Malaysia (termasuk kedai rantaian seperti 7-Eleven), pegangan pasarannya ialah 14.9% mengikut hasil. Saiz segmen kedai serbaneka berkembang daripada RM0.8 bilion (2020) kepada RM2.2 bilion (2025), dan diunjurkan mencecah RM4.9 bilion menjelang 2030.

Butiran IPO KK Mart

PerkaraButiran
PasaranMain Market Bursa Malaysia
Kod / nama saham5360 / KKMART
Harga runcitRM0.55 (maksimum, dibayar penuh semasa memohon)
Saiz IPOSehingga 840 juta saham (24.0% daripada saham diperbesarkan)
Terbitan awam (saham baharu)210 juta saham, kutipan kasar RM115.5 juta kepada syarikat
Tawaran jualan (OFS)Sehingga 630 juta saham sedia ada (18.0%), sehingga RM346.5 juta kepada pemegang saham penjual
Jumlah saham selepas IPO3.5 bilion saham
Market cap pada harga runcitRM1,925 juta
Penasihat Utama, Bookrunner, Penaja JaminMaybank Investment Bank Berhad
Rumah terbitanAscendServ Capital Markets Services Sdn Bhd

Penting tentang harga: RM0.55 ialah harga maksimum. Harga runcit akhir ialah yang lebih rendah antara RM0.55 atau harga institusi yang ditentukan melalui proses bookbuilding pada 4 Disember 2026. Jika harga akhir lebih rendah, perbezaannya akan dipulangkan kepada pemohon yang berjaya.

Draf prospektus syarikat ini pernah dipaparkan dalam halaman pendedahan prospektus SC sebelum mendapat kelulusan SC pada 22 September 2026 dan kelulusan Bursa pada 26 Oktober 2026. Perjanjian penajaan jamin runcit dengan Maybank IB pula ditandatangani pada pertengahan November, seperti dilaporkan oleh The Star.

Tarikh Penting Permohonan

PeristiwaTarikh
Permohonan runcit dibuka10.00 pagi, 26 November 2026
Permohonan runcit ditutup5.00 petang, 2 Disember 2026
Penentuan harga dan undian (balloting)4 Disember 2026
Peruntukan saham kepada pemohon berjaya14 Disember 2026
Penyenaraian di Main Market15 Disember 2026

Untuk langkah memohon melalui akaun dagangan dalam talian, rujuk cara mohon IPO Bursa guna MPlus Global. Selepas undian, anda boleh semak keputusan dengan bantuan panduan cara baca balloting result.

Agihan Saham: Hanya 3% Untuk Runcit

Sebahagian besar saham IPO pergi kepada institusi. Pelabur runcit hanya mendapat 105 juta saham, bersamaan 3.0% daripada saham diperbesarkan:

  • Orang awam Malaysia melalui undian: 70 juta saham (2.0%), separuh daripadanya (35 juta) untuk Bumiputera
  • Individu layak (pink form): 35 juta saham (1.0%) untuk pengarah, pekerja dan pihak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan
  • Pelabur Bumiputera diluluskan MITI: 437.5 juta saham (12.5%)
  • Institusi dan pelabur terpilih: sehingga 297.5 juta saham (8.5%)

Terdapat juga opsyen peruntukan lebihan (over-allotment) sehingga 70 juta saham yang dipinjam daripada K8 Resources, untuk kegunaan penstabilan harga selepas penyenaraian.

Infografik IPO KK Mart Retail Berhad: harga runcit RM0.55, market cap RM1.93 bilion, PE 18.8x, permohonan 26 November hingga 2 Disember 2026, penyenaraian 15 Disember 2026, tidak patuh Syariah
Ringkasan IPO KK Mart dan agihan sehingga 840 juta saham IPO. Sumber: prospektus 26 November 2026.

Kegunaan Dana: Hanya RM115.5 Juta Masuk Ke Syarikat

Ini perkara yang ramai terlepas pandang. Daripada sehingga 840 juta saham IPO, 630 juta ialah tawaran jualan (Offer for Sale) oleh pemegang saham sedia ada, iaitu K8 Resources (542.5 juta saham) dan Arus Sejahtera (87.5 juta saham). Hasil jualan saham ini, sehingga kira-kira RM346.5 juta, pergi kepada mereka, bukan kepada KK Mart. Jika anda belum jelas beza dua jenis tawaran ini, baca perbezaan Public Issue, Offer For Sale dan Private Placement dalam IPO.

Hanya terbitan awam 210 juta saham baharu yang membawa wang kepada syarikat, iaitu RM115.5 juta pada harga RM0.55. Dana ini akan digunakan seperti berikut:

KegunaanRM juta%Tempoh
Pembesaran pusat pengedaran (DC)48.441.936 bulan
Inisiatif digital, perkakasan dan perisian IT28.024.236 bulan
Pembukaan kedai baharu di Malaysia25.021.712 bulan
Perbelanjaan IPO dan penyenaraian14.112.23 bulan
Jumlah115.5100.0

Peruntukan terbesar adalah untuk pusat pengedaran. Pada masa ini KK Mart bergantung kepada satu pusat pengedaran sahaja di Balakong. Syarikat merancang DC Selatan di Senai, Johor (separuh pertama 2027), DC Utara di Butterworth (hujung 2029), dan DC Tengah baharu untuk menggantikan Balakong menjelang suku pertama 2029.

Prestasi Kewangan: Hasil Naik, Untung Mendatar

RM juta (FYE 30 Jun)FYE2024FYE2025FYE2026
Hasil1,454.91,567.21,774.6
Untung kasar408.5450.8515.1
Untung sebelum cukai (PBT)135.7132.1140.7
Untung selepas cukai (PAT)101.697.0102.5
Margin untung kasar28.1%28.8%29.0%
Margin PAT7.0%6.2%5.8%
Aliran tunai operasi181.2279.5168.9
Tunai bersih8.585.830.7

Hasil berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 10.4% dari FYE2024 hingga FYE2026, didorong terutamanya oleh pembukaan kedai baharu. Margin untung kasar juga meningkat sedikit. Namun PAT kekal dalam julat RM97 juta hingga RM102.5 juta, menyebabkan margin PAT menyusut daripada 7.0% kepada 5.8%. Kos operasi yang meningkat seiring rangkaian kedai yang besar menelan hampir semua pertumbuhan untung kasar.

Sebagai nota, prospektus menyatakan PBT FYE2025 akan menjadi RM140.2 juta jika tidak mengambil kira faedah dan dividen saham keutamaan boleh tebus (RCPS) yang telah ditukar pada 27 Mac 2026. Pinjaman (tidak termasuk liabiliti pajakan) kekal rendah sekitar RM39 juta, tetapi liabiliti pajakan sewa kedai meningkat kepada RM168.2 juta pada FYE2026.

Prestasi kedai sedia ada (SSSG) dan jualan harian

Pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) memberi gambaran sebenar sama ada kedai lama masih berkembang. Angkanya bercampur:

  • FYE2024: 1.9%
  • FYE2025: -2.7%, disebabkan pemberhentian jualan arak di kedai tanpa lesen sah, publisiti negatif Insiden Sandwic, dan pengagihan semula jualan kepada kedai baharu
  • FYE2026: 1.7%, dibantu program SARA dan SKAS serta jualan arak yang disambung semula
  • 1 Julai 2026 hingga LPD: -6.0%

Penurunan -6.0% terkini berpunca daripada pelancaran sistem pengurusan gudang baharu di DC Balakong pada 26 Julai 2026. Gangguan semasa peralihan menyebabkan tunggakan pesanan dan kelewatan penghantaran, lalu sesetengah produk kehabisan stok di kedai. Sebelum gangguan ini, SSSG Julai 2026 ialah 0.9%. Syarikat menjangka penghantaran kembali normal menjelang hujung 2026.

Purata jualan harian setiap kedai (ADSS) juga menurun daripada RM5,304 (FYE2024) kepada RM4,719 (FYE2026) dan RM4,326 dalam tempoh terkini. Purata transaksi sehari setiap kedai jatuh daripada 502 kepada 397. Ini sebahagiannya kesan kanibalisasi apabila kedai baharu dibuka berdekatan kedai lama.

Penilaian: PE 18.8x Berbanding Purata Rakan 27.8x

Pada RM0.55, KK Mart dinilai pada PE kira-kira 18.8 kali, berdasarkan EPS 2.93 sen (PAT FYE2026 RM102.5 juta dibahagi 3.5 bilion saham). Prospektus membandingkannya dengan syarikat runcit tersenarai:

SyarikatMarket cap (RM juta)PE 12 bulan lepasEV/EBITDA
99 Speed Mart Retail Holdings25,70438.3x22.0x
MR D.I.Y. Group11,27818.0x9.6x
Eco-Shop Marketing7,25527.0x13.8x
7-Eleven Malaysia Holdings2,218167.6x (dikecualikan)9.6x
Purata27.8x13.8x
KK Mart (pada RM0.55)1,92518.8x8.8x

Di atas kertas, KK Mart ditawarkan pada diskaun berbanding purata rakan. Namun bandingan ini perlu dibaca dengan konteks. 99 Speed Mart mempunyai untung bersih lebih enam kali ganda KK Mart dan pertumbuhan EBITDA lebih tinggi, manakala untung KK Mart tidak bertumbuh dalam tiga tahun. PE yang lebih rendah boleh mencerminkan pertumbuhan untung yang lebih perlahan, bukan semestinya "murah". Untuk memahami cara menilai PE ikut sektor, baca PE ratio: cara nak tahu saham mahal atau murah.

Satu lagi metrik: aset bersih pro forma selepas IPO hanya RM0.10 sesaham. Ini bermakna pelabur IPO membayar kira-kira 5.5 kali nilai buku, dan prospektus menyatakan pencairan serta-merta sebanyak RM0.45 sesaham (81.8% daripada harga runcit). Ini biasa bagi peruncit yang modalnya kecil berbanding aliran tunai, tetapi wajar diketahui.

Carta perbandingan PE KK Mart 18.8x dengan 99 Speed Mart 38.3x, Eco-Shop 27.0x dan MR DIY 18.0x, serta hasil dan PAT KK Mart FYE2024 hingga FYE2026
PE KK Mart berbanding rakan runcit tersenarai, serta trend hasil dan PAT. Sumber: prospektus KK Mart.

Polisi Dividen 40% Hingga 60%

KK Mart menyasarkan nisbah pembayaran dividen kira-kira 40% hingga 60% daripada PAT setiap tahun kewangan, tertakluk kepada keperluan modal dan kelulusan Lembaga Pengarah. Sebelum IPO, syarikat membayar dividen yang besar kepada pemegang saham sedia ada: RM113.5 juta bagi FYE2025 (117% daripada PAT) dan dividen pra-IPO RM100.0 juta bagi FYE2026 (97.6% daripada PAT). Pelabur IPO tidak menerima dividen pra-IPO ini, dan syarikat menyatakan tiada dividen tambahan akan diisytihar sebelum penyenaraian.

Insiden Lalu: Insiden Stoking dan Insiden Sandwic

Prospektus mendedahkan dua insiden pematuhan produk yang mencetuskan publisiti negatif:

Insiden Stoking (Mac 2024). Stoking yang tertera perkataan "Allah" dijual di kedai Bandar Sunway. Syarikat memohon maaf secara terbuka dan menyatakan stoking itu dibekalkan secara konsainan, lalu menarik balik baki stok. Kemudian, tiga kedai di Perak, Pahang dan Sarawak menjadi sasaran bom petrol, namun tiada kerugian besar. Pada 15 Julai 2024, syarikat membayar denda RM60,000 di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melukakan perasaan keagamaan orang lain, mengikut perintah Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Insiden Sandwic (Januari 2025). Sandwic berlabel "Ham and Cheese Sandwich" dengan logo Halal dijual di kedai Universiti Malaya. Dua kedai di kampus UM ditutup sementara oleh universiti, tetapi telah dibuka semula. JAKIM dan KPDN menyiasat, dan JAKIM mengesahkan produk itu tidak mempunyai pensijilan Halal yang sah ketika itu. Pengeluar produk tidak memegang sijil Halal yang sah. Setakat LPD, tiada denda atau penalti dikenakan ke atas syarikat berhubung insiden ini.

Prospektus menyatakan insiden lalu ini tidak memberi kesan material kepada operasi atau kewangan kumpulan. Namun Insiden Sandwic disebut sebagai salah satu punca SSSG negatif FYE2025, dan risiko reputasi disenaraikan sebagai risiko pertama dalam prospektus.

Kelebihan IPO KK Mart

  • Rangkaian kedai serbaneka terbesar mengikut bilangan kedai, dengan pegangan 77.6% dalam segmen convenience mart pada 2025.
  • Pertumbuhan hasil konsisten, CAGR 10.4% dari FYE2024 hingga FYE2026, dengan margin untung kasar yang meningkat.
  • Penjanaan tunai kukuh: aliran tunai operasi RM168.9 juta pada FYE2026, kitaran tukaran tunai 23 hari, dan tempoh pulang modal kedai kira-kira 2 tahun.
  • Kunci kira-kira ringan: kedudukan tunai bersih dengan gearing 0.2 kali.
  • Penilaian lebih rendah daripada purata rakan: PE 18.8x berbanding purata 27.8x, dan EV/EBITDA 8.8x berbanding 13.8x.
  • Polisi dividen jelas pada 40% hingga 60% daripada PAT.

Risiko Yang Perlu Difahami

1. Untung tidak bertumbuh walaupun kedai bertambah

Kedai bertambah daripada 777 kepada 1,106, tetapi PAT kekal sekitar RM100 juta. Jualan harian setiap kedai pula terus menurun. Jika kedai baharu terus mengambil jualan kedai lama, pengembangan agresif ke arah 1,500 kedai mungkin tidak menambah keuntungan secara berkadar.

2. Gangguan sistem gudang dan pergantungan pada satu DC

Semua kedai di Semenanjung bergantung kepada DC Balakong. Gangguan sistem pengurusan gudang sejak Julai 2026 sudah menjejaskan SSSG kepada -6.0%. Sehingga DC baharu siap, sebarang gangguan di Balakong boleh terus menjejaskan bekalan.

3. Lesen dan pematuhan

Setakat LPD, 39 daripada 1,106 kedai belum mempunyai Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) atau setaraf. Kos pembetulan dan penalti maksimum dianggarkan sekitar RM1.9 juta. Hanya 356 kedai memegang lesen arak, dan kegagalan memperbaharui lesen boleh menjejaskan jualan atau memaksa kedai ditutup.

4. Pergantungan pada tembakau dan perubahan polisi

Tembakau menyumbang 27.1% hasil kedai FYE2026 (naik daripada 22.6% pada FYE2024), dan dua pembekal terbesar ialah pengedar tembakau. Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 memperkenalkan larangan paparan dan keperluan pendaftaran produk tembakau dan vape, yang boleh menjejaskan jualan kategori ini.

5. Reputasi

Seperti ditunjukkan oleh Insiden Stoking dan Insiden Sandwic, isu produk di satu kedai boleh menjejaskan seluruh jenama dengan cepat, terutamanya dalam isu sensitif agama.

6. Pemegang saham utama kekal mengawal, sebahagian besar IPO ialah OFS

Selepas IPO, K8 Resources (milik Datuk Seri Chai dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui) masih memegang 73.85%. Sebanyak 18% daripada saham IPO ialah tawaran jualan oleh pemegang saham sedia ada, jadi sebahagian besar wang pelabur pergi kepada mereka. Mereka tertakluk kepada moratorium 6 bulan selepas penyenaraian.

Kenapa KK Mart Tidak Patuh Syariah?

Perkataan "Shariah" langsung tidak muncul dalam prospektus KK Mart, bermakna tiada klasifikasi patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah SC sempena IPO ini. Ini berbeza dengan kebanyakan IPO yang dinyatakan patuh Syariah dalam prospektus. Faktor utamanya ialah aktiviti perniagaan: tembakau menyumbang 27.1% hasil kedai, manakala minuman keras menyumbang kira-kira 2.5% jualan FYE2026. Salah seorang lima pembekal utamanya ialah pengedar bir.

Untuk memahami penanda aras aktiviti yang digunakan dalam saringan Syariah, baca apakah syarat saham patuh Syariah. Senarai rasmi sekuriti patuh Syariah boleh disemak dalam senarai Majlis Penasihat Syariah SC, yang dikemas kini dua kali setahun. Bagi pelabur yang mahukan pendedahan kepada sektor runcit secara patuh Syariah, sentiasa semak status terkini setiap kaunter dalam senarai SC sebelum membuat keputusan.

Siapa Pemegang Saham Utama Selepas IPO?

Sebelum IPO, K8 Resources memegang 95.05% dan Arus Sejahtera 4.95%. Selepas IPO (tanpa peruntukan lebihan), pegangan menjadi:

  • K8 Resources Sdn Bhd: 73.85% (71.85% jika opsyen peruntukan lebihan dilaksanakan sepenuhnya)
  • Arus Sejahtera: 2.15%
  • Pelabur IPO: 24.0%

Datuk Seri Chai Kee Kan dan Datin Seri Loh Siew Mui dianggap berkepentingan melalui K8 Resources, dan tidak boleh menjual saham K8 Resources mereka dalam tempoh moratorium 6 bulan.

Soalan Lazim (FAQ)

Berapa harga IPO KK Mart?
Harga runcit maksimum ialah RM0.55 sesaham. Harga akhir ialah yang lebih rendah antara RM0.55 atau harga institusi yang ditetapkan pada 4 Disember 2026. Perbezaan akan dipulangkan jika harga akhir lebih rendah.

Bila tarikh tutup permohonan IPO KK Mart?
Permohonan runcit dibuka 10.00 pagi, 26 November 2026 dan ditutup 5.00 petang, 2 Disember 2026. Undian dijalankan pada 4 Disember dan saham tersenarai pada 15 Disember 2026.

Adakah IPO KK Mart patuh Syariah?
Tidak. Prospektus tidak menyatakan sebarang klasifikasi patuh Syariah, dan syarikat menjual tembakau (27.1% hasil kedai) serta minuman keras. Pelabur Muslim dinasihatkan mengelak IPO ini.

Berapa banyak saham untuk orang awam?
Hanya 70 juta saham (2.0%) untuk orang awam Malaysia melalui undian, separuh untuk Bumiputera. Tambahan 35 juta saham (1.0%) untuk individu layak melalui pink form.

Ke mana wang IPO KK Mart pergi?
Hanya RM115.5 juta daripada terbitan saham baharu masuk ke syarikat, terutamanya untuk pusat pengedaran, inisiatif digital dan kedai baharu. Sehingga RM346.5 juta daripada tawaran jualan pergi kepada pemegang saham penjual.

Berapa PE IPO KK Mart?
Kira-kira 18.8 kali, berdasarkan EPS FYE2026 sebanyak 2.93 sen. Purata rakan dalam prospektus ialah 27.8 kali.

Adakah KK Mart akan bayar dividen?
Syarikat menyasarkan pembayaran 40% hingga 60% daripada PAT setiap tahun, tertakluk kepada kelulusan Lembaga Pengarah. Ini sasaran, bukan jaminan.

Kesimpulan

IPO KK Mart membawa rangkaian kedai serbaneka terbesar Malaysia ke Main Market pada PE 18.8 kali, lebih rendah daripada purata rakan runcitnya. Hasil berkembang 10.4% setahun dan aliran tunai kukuh, tetapi untung bersih mendatar, jualan setiap kedai menurun, SSSG terkini -6.0%, dan sebahagian besar IPO ialah jualan saham pemilik sedia ada. Paling penting bagi pelabur Muslim, IPO ini tidak patuh Syariah. Pasaran saham sentiasa tidak menentu, termasuk prestasi saham selepas penyenaraian, jadi buat keputusan berdasarkan kajian sendiri dan tahap risiko anda.

Sebelum memohon IPO yang akan datang, pastikan anda sudah mempunyai akaun CDS yang aktif.

Buka akaun CDS untuk melabur di Bursa Malaysia dan juga saham luar negara seperti US dan Hong Kong.

Muat turun Ebook Asas Saham percuma untuk memahami asas pelaburan sebelum membuat keputusan.

Penafian: Artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan dan bukan cadangan untuk membeli atau menjual mana-mana sekuriti. Pelaburan melibatkan risiko dan prestasi lalu tidak menjamin pulangan masa depan.

Bacaan Lanjut

Kongsi: